WAFIQAH INDUSTRIES SDN BHD

WAFIQAH INDUSTRIES SDN BHD

Jumaat, 29 April 2011

Berita Gaharu Utusan Malaysia 03/04/2011

Tanam pokok gaharu di tanah terbiar

IPOH 2 April - Pemilik tanah terbiar di negeri ini diminta mengusahakan tanah mereka dengan tanaman pokok gaharu yang mampu memberi pulangan lumayan.

Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Pelancongan dan Hal Ehwal Wanita negeri, Datuk Hamidah Osman berkata, pokok gaharu juga boleh ditanam dalam skala kecil serta penjagaannya tidak rumit.

Katanya, dalam tempoh lima tahun, kayu gaharu yang merupakan salah satu bahan untuk menghasilkan minyak wangi sudah boleh mengeluarkan hasil untuk dieksport.

"Kerajaan negeri menggalakkan pemilik tanah memajukan tanaman ini kerana potensinya yang besar berikutan permintaannya yang tinggi di Asia Barat," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Seminar dan Pameran Hala Tuju Industri Gaharu di Dewan Serbaguna, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), di sini.

Selain industri minyak wangi, kayu gaharu turut digunakan untuk membuat perhiasan, tonik minuman, teh dan sabun.

Hamidah berkata, Perbadanan Pembangunan Pertanian Perak (SADC) telah melaksanakan projek perintis tanaman itu di Kledang Sayong, Kuala Kangsar tahun lalu.

Menurutnya, projek tersebut melibatkan kawasan 100 hektar.

Beliau berkata, SADC boleh mewujudkan pusat pengumpulan dengan kerjasama Syarikat Kayu Gaharu (M) Sdn. Bhd. untuk memasarkan kayu gaharu di negeri ini.

"Melalui pengumpulan setempat itu akan memudahkan industri gaharu ditingkatkan dan sekali gus meningkatkan pendapatan pengusaha terlibat," katanya.

Tiada ulasan: